(aku memohon maaf andainya ada bait-bait kata di dalam artikel ini melampau. Tapi sedarlah yang kita sebenarnya sudah lama GILA)
Aku sedih. Aku kecewa. Tiada tempat untuk aku luahkan apa yang aku rasa selain disini yang mungkin ada yang membacanya atau mungkin juga tidak. Sedih bila aku melihat kita sesama melayu semakin rakus membaham antara satu sama lain demi kuasa. Kita perjuangkan apa yang boleh aku panggil “entah apa-apa entah”. Cakap konon ini untuk rakyat. Itu untuk demokrasi. Tapi yang betulnya semuanya untuk duit kopi dan mengisi perut anak dan bini. Inilah yang orang kampung aku kata “masuk parti gerakan, tak kerja tak makan”.
Semuanya salah, semuanya silap seolah-olah merekalah tokoh pemimpin dunia yang selayaknya di angkat memimpin dunia agar indah dirasa dunia ini. kononnya mereka pakar jatuh bangunnya ekonomi dunia. Padahal ekonomi rumahtangga pun ada masa nya miss suru. ada hati untuk mengatur ekonomi dunia. Sudah dan sudah-sudahlah.
Menurut politik kedai kopi ini, kononnya rakyat mahukan pembaharuan. Mahukan perubahan. Mahukan kerajaan yang adil. Tapi aku bingung adakah mereka sedar apa yang mereka katakan. Adakah mereka rasa apa yang sepatutnya mereka rasakan. Adakah mereka lakukan apa yang mereka sepatutnya lakukan, semua hanya cerita kedai kopi dan tidak lebih dari itu. Semuanya hanya cerita panas untuk minum pagi bersama penambah selera selepas teh tarik dan nasi lemak atau roti canai mamak.
Pemimpin di atas masih seperti dulu. Kuasa, kuasa dan kuasa. Undi, undi dan undi. Sebab itulah aku bersetuju jika orang berkata melayu hancur kerana “di”. Kerana budi, undi dan bodi diberi. Dibiar diratah dan diperkosa dengan sepuas-puasnya. Dilihat, ditertawa dan diperlekeh dengan sehina-hinanya.
Aku geram. Aku marah. Aku memang marah. Aku marah pada dirikudan aku marah pada bangsaku. Aku muak, aku jelek dan aku sudah mahu termuntah dengan strategis politikus yang terus memperjudikan nasib anak bangsa di meja judi politik kotor. Taruhannya tidak sedikit, malah hingga menggadai maruah ibunda bangsa sendiri. Politik melayu sudah jadi politik nujum pak belalalng. Taruhan antara dua sultan yang gila. Diperbodohkan oleh pak nujum yang tidak tahu apa-apa. Belalang oh belalang.
Anak dara melayu yang sudah hilang ke mana daranya sudah diangkut oleh sesiapa tanpa mengira warna kulitnya. Sudah boleh diangkut, diangkat dan dikendong dengan sesuka hati. Tiadawali, tiada akad dan tiada saksi. Yang ada hanya “pengantin lelaki” dan “pengantin perempuan” yang tidak sabar untuk belayar entah ke mana-mana. Yang mengangkut bukan lagi sawo matang, putih dan gelap pun boleh sahaja janji dapat apa yang berhajat di hati. Inilah mungkin yang dikatakan 1 Malaysia. Tidak cukup dengan itu, untuk jadi memori, biarlah dirakam di kamera telefon tangan yang dibawa kemana-mana. Biar satu Malaya menatap aksi mereka. Biar satu Malaya tahu dia sudah tiada apa-apa.
Mana perginya politikus melayu yang begitu hebat berpidato dan bangga dijemput seantero dunia. Adakah ini kecil bagi beliau atau hanya masalah celah gigi yang bisa diselesai bila berkuasa. Adakah ini hanya bisul yang bisa dipicit. Sedarkah dia yang ini bukan lagi bisul dan jerawat batu tetapi sudah jadi kudis buta yang amat menyakitkan. Malah barah yang mungkin mustahil untuk dirawat. Sudah menjadi HIV bangsa. Mana pemimpin melayu. Mana jaguh pejuang melayu. Mana pakatan melayu. Mana barisan melayu. Yang ada hanya lah jalang-jalang poilitik melayu yang gila kuasa dan politikus berhidung belang yang sudah tidak kenal halal dan haramnya.
Aku makin gila. Bangsaku sudah gila. Kita semua sudah gila. SUDAH GILA KUASA...
2 kali 5 bukan ustaz jauh sekali ulama. Ular dalam semak boleh jadi kot. Tapi 2 kali 5 biul dengan perangai orang politik zaman la ni. Tua ke muda sama saja. Dunia...dunia...
Doa 2 kali 5 mudah jer :
“ Ya Allah, ya tuhanku. Andainya segala hasil bumi Kelantan (balak, minyak dan sebagainya) diuruskan dengan cara yang hak, maka kau rahmatilah orang yang menguruskannya dan lindungi lah mereka dari azab dunia dan akhirat. Andai sebaliknya berlaku, kau hancurkanlah orang yang menguruskannya dengan sehina-hinanya...”
Kegagalan, kejatuhan mahupun kemusnahan merupakan perkataan-perkataan yang membawa kesan cukup tidak baik buat kita. Bagai badi sial yang tidak mungkin hilang dengan mandi bunga. Cukup terkesan dan tertekan. Semua manusia cukup takut kepada kegagalan dan kejatuhan. Takut dan menakutkan. Gerun dan menggerunkan.
Di dalam senario politik tanahair peristiwa 8 mac 2009, adalah merupakan peristiwa kejatuhan dan kebangkitan. Kejatuhan yang disifatkan sebagai “tsunami poltik” oleh Barisan Nasional (BN) dan gelombang kebangkitan rakyat oleh Pakatan Rakyat (PR). Kedua-duanya cukup berlawanan. Ada yang ketawa dan ada yang menangis.
Peristiwa ini saya yakin adalah merupakan sebuah pengajaran buat semua(untuk yang menang mahupun yang kalah). Peristiwa ini cukup mengejutkan dan sukar diterima pada awalnya. Lihatlah sahaja proses pembentukan kerajaan negeri pada peringkat awal seperti berlaku di Perak, Kedah, Selangor, Perlis dan Terengganu. Cukup kalut dan cukup merumitkan tanpa mengira siapa yang berkuasa.
Namun begitu, setiap ciptaan mahupun kejadian yang dijadikan Allah mempunyai hikmahnya yang unik dan tersendiri. Manusia yang sombong dan angkuh, mula sedar akan tinggi dan rendahnya langit. Manakala manusia yang tidak menyangka akan sebuah kemenangan mula terloncat-loncat seperti kera kena belacan.
Sambil menyiapkan beberapa kandungan untuk proposal perniagaan saya tadi, mata terpaku sebentar kepada sebuah buku yang tersusun di rak buku. Otak dan mata yang penat mengadap netbook dari awal malam tadi singgah berlabuh di buku merah berkulit keras ini.
Buku “The Age Of Fallibility” tulisan GEORGE SOROS menarik perhatian saya. Saya memang selalu membaca buku-buku sebegini kerana buku-buku ini amat mencabar minda kita dan mengajak kita untuk berfikir secara serius tentang sesuatu perkara khasnya tentang dunia semasa dan dunia masa hadapan kita. Walau ramai yang kurang meminati atau mungkin membenci penulis buku ini, tetapi saya mengambil pendekatan berbeza, take it positive.
Saya tertarik dengan beberapa perenggan buku ini dan saya rasakan kita boleh kongsi bersama di blog saya ini. Berikut adalah antara petikan dari buku tersebut :
Fallibility has a negative sound. Indeed, every advance we make in better understanding the relationship between thinking and reality has a negative connotation because it involves a retreat from perfection. But this negative interpretation is itself a manifestation of our fallibility. Recognizing our fallibility has a positive aspect that ought to outweigh the loss of an illusory perfection. What is imperfect can be improved, and the improvement can manifest itself not only in our thinking but also in reality. If perfect understanding is beyond our reach, the room for improvement is infinite. My interpretation of reflexivity is basically optimistic – but i must admit that, as i grow older and make little headway with my interpretation, i am not immune to despair.
Secara peribadi, saya melihat apa yang ditulis oleh George Soros ada kebenarannya. Saya yakin apa yang ditulis oleh beliau adalah sesuatu yang dilalui sepanjang kehidupan beliau.
Saya melihat apa yang ditulis oleh beliau dan otak saya cuba mentafsirkan apa yang berlaku di arena politik tanahair. Saya tahu apa yang beliau maksudkan lebih kapada dunia beliau sendiri tetapi saya cuba mencari sesuatu yang kita bisa guna pakai di dunia kita sendiri.
Saya cuba kaitkan apa yang berlaku kepada UMNO selepas tsunami politik Malaysia. Walau saya bukan seorang ahli UMNO, tetapi saya masih yakin UMNO masih relevan di persada politik Malaysia khasnya politik melayu. Harus kita akui beberapa parti pembangkang di Malaysia samada yang masih hidup atau yang sudah mati, adalah “adik tiri’ kepada UMNO secara tidak langsung.Jadi secara tidak langsung UMNO masih dan tetap relevan dengan politik melayu Malaysia.
Cuba kita bayangkan apa yang akan berlaku jika tiada UMNO di Malaysia. Mungkin adayang mengatakan “alhamdulillah”, tetapi sedarkah anda yang musibah dan bala mungkin akan menimpa umat melayu sama seperti jika tiada PAS di dalam arena politik tanahair. Saya berpendapat begini kerana tanpa UMNO mahupun PAS, umat melayu akan kehilangan ‘taring’ politik mereka. Walaupun dua parti ini bermusuhan namun mereka saling perlu memerlukan. Mereka perlu wujud secara bersama dan mati juga secara bersama. Mereka saling bergantungan antara satu sama lain. Samalah mereka seperti menantu dan mertua. Mereka adalah Nature enemy.
Saya tidak ingin menyentuh tentang PAS kali ini kerana PAS berada di dalam keadaan yang selesa(walau tidak begitu selesa). Bagi saya UMNO perlu bangun dan bangkit untuk terus berjuang bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada mereka. Usaha yang harus digembeling bukan sedikit tetapi mereka harus gagahkan diri dengan sebanyak tenaga yang ada untuk bangun dan berjuang. Kembalikan keyakinan rakyat khasnya keyakinan umat melayu Islam. Rakyat membuang mereka sebelum ini bukan kerana benci tetapi kerana marah. Marah-marah sayang. Itulah apa yang saya rasa. Rakyat tidak membuang UMNO di fikiran mereka, Cuma mungkin UMNO sudah tiada di hati mereka. Jika mereka membenci dengan mata hati tetapi mereka masih boleh “menyanyangi” dengan mata fikir. Bukan semua tingkah UMNO yang jelek di mata mereka, masih ada langkah UMNO yang sejuk di hati mereka. Percayalah...
UMNO cuma menghadapi KRISIS KEYAKINAN& KEPERCAYAN dengan umat melayu. Keyakinandan kepercayaan yang dulu tinggi menggunung pada UMNO telah runtuh dan rebah dipukul tsunami. Tanah yang dulu indah membiru dan subur, sudah menjadi padang jarak padang tekukur. Itulah perlambangan yang dapat saya gambarkan betapa hancurnya ‘yakin’ dan ‘percaya’nya umat melayu kepada UMNO.
UMNO harus sedar yang umat melayu Islam cukup sensitif dengan perkataan YAKIN dan PERCAYA. Kerana ‘yakin’ dan ‘percaya’lah, umat melayu Islam memecahkan rekod negara menjadi pelabur terbanyak dalam skim cepat kaya. Kerana ‘yakin’ dan ‘percaya’lah, umat melayu Islam pernah kehilangan tanahair mereka selama hampir 400 tahun. Kerana ‘yakin’ dan ‘percaya’lah, umat melayu Islam hilang pertimbangan diri dan hilang saudara dan kawan semata-mata kerana anutan politik yang berbeza. Maka UMNO harus ‘yakin’ dan ‘percaya’lah, mereka perlu lakukan sesuatu untuk mendapatkan semula ‘yakin’ dan ‘percaya’ umat melayu yang pernah menjadi milik UMNO sebelum ini.
Kerana ‘yakin’ dan ‘percaya’lah juga yang membawa puluhan ribu rakyat ke jalanan kerana menentang apa yang berlaku kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Kerana ‘yakin’ dan ‘percaya’lah, rakyat memberi selaut simpati kepada beliau. Apa sahaja yang diucapkan dan diperkatakan oleh manusia yang berlidah perak ini akan dipercayai dan diterima bulat-bulat.
Kerana ‘yakin’ dan ‘percaya’lah juga Mawi mampu menjadi juara AF. Yakin dan percaya yang beliau adalah contoh artis yang berakhlak mulia. Begitu juga yang berlaku kepada ustaz rock dan isu sensasi selepas itu.
UMNO harus belajar dan faham bahawa ‘yakin’ dan ‘percaya’ orang melayu sudah hancur lebur. Ketamakan dan keangkuhan pemimpin yang berkuasa cukup jelek dan jijik di mata rakyat. Rakyat sudah muak dengan janji dan mulut manis pemimpin UMNO. Apa sahaja program UMNO harus punya penaja, jika tidak, program itu tidak lebih dari persidangan atau perjumpaan kerusi-kerusi plastik sahaja.
“But this negative interpretation is itself a manifestation of our fallibility. Recognizing our fallibility has a positive aspect that ought to outweigh the loss of an illusory perfection. What is imperfect can be improved, and the improvement can manifest itself not only in our thinking but also in reality. If perfect understanding is beyond our reach, the room for improvement is infinite.”
Jika pendapat George Soros ini dapat dijadikan panduan dan teguran buat UMNO, saya yakin sesuatu dapat dilakukan secara konkrit untuk mengembalikan semula kegemilangan UMNO di dalam dunia ‘yakin’ dan ‘percaya’ umat melayu Islam. Kita harus sedar tafsiran yang buruk ini sendiri(kehilangan ‘yakin’ dan ‘percaya’) adalah manifestasi keapada kejatuhan UMNO. Apa yang tidak sempurna boleh diperbaiki, dan penambahbaikan ini (mengembalikan semula ‘yakin’ dan ‘percaya’)boleh difahami bukan sahaja di dalam pemikiran kita tetapi akan menjelma di alam realiti semasa.
Nah!!! Lihat sahaja ahli-ahli PAS. Mereka hebat dalam hal ‘yakin’ dan ‘percaya’. Pengalaman mereka sebagai pemanas kerusi pembangkang yang cukup lama, mengajar mereka erti ‘yakin’ dan ‘percaya’. Bagi ahli-ahli PAS, mereka bukan hanya mengharapkan penaja bagi setiap program malah mereka sendiri bersedia untuk menjadi ‘penaja’ kepada program anjuran parti.
Displin mereka tinggi dan komitmen mereka hebat. Mereka sedia untuk berkorban demi kepentingan parti. Mereka tidak mengharapkan apa-apa dari parti, malah parti yang mengharapkan sumbangan mereka. Tidak seperti ahli-anli UMNO yang mengharapkan parti untuk projek mahupun bantuan baju sekolah anak-anak.
Bangunlah UMNO. UMNO sudah tidur lama. Sudah bermimpi hingga ke kayangan. UMNO sudah lupa langkah dan bunga silat politik melayu. Sudah terlalu lama UMNO di kerusi empuk bermimpi puteri kayangan. Sudah sampai masanya UMNO bangun memcuci muka dan bersugi. Bergaul dan bercakaplah dengan rakyat terbanyak. Jadilah pendengar yang baik kepada setiap masalah rakyat. Jadilah pejuang sejati dan bukan hanya mendabik dada dengan sejarah kemerdekaan tanahair yang sekian lama dilupa. Jika UMNO ingin terus menjadi UMNO, berubahlah dengan sedar dan waras. Berubahlah demi masa depan melayu yang kian kelam. Ingatlah UMNO, anak kecil yang bermain api sudah lama terbakar hatinya yang sepi.
‘YAKIN’ DAN ‘PERCAYA’LAH UMNO, ANDA MAMPU MENGUBAHNYA...
Saya neutral. Berpolitik tetapi tidak berparti. Saya ibarat orang yang mengaku berkereta tetapi tidak punyai apa-apa walau hanya sebiji skru atau sebelah tayar. Kawan-kawan mengata saya hanya orang berpolitik kedai kopi. Politik tepi jalan dan bukan politik jalanan yang berani disimbah air asid dan asap. Politik saya tidak bergerak dan tidak kemana-mana. Benar??? Mungkin tidak.
Saya akui politik saya politik kedai kopi. Bukan politik sebenar yang turun ke gelanggang mempertahankan wadah dan perjuangan. Melibatkan diri secara aktif di cawangan, bahagian atau kawasan atau cabang atau apa sahaja istilah mengikut parti yang diperjuangkan. Politik kedai kopi tetap menjadi politik kedai kopi dan tidak mengubah apa-apa. Apa yang berubah hanyalah untung dan rugi towkey kedai kopi tempat saya berpolitik. Walau seribu cawan kopi saya minum, politik yang saya perjuangkan tetap sama dan tidak kemana. Politik Malaysia masih jijik dan kotor seperti politikus yang terus menikus dengan habuan politik mereka.
Saya bukan bodoh dan saya bukan jahil. Saya tahu jika saya ingin berjuang di medan politik saya harus berani lipat lengan baju dan bergelut di medan politik. Mencari pasukan. Bergerak dengan wadah yang betul dan nyatakan apa yang dirasa melalui suara parti. Naikkan pemimpin dan jatuhkkan pemimpin. Jika berpeluang jadilah pemimpin. Bukannya susah sangat kerana dah ramai kawan yang menajdi pemimpin parti. Usah disebut siapa mereka. Saya kenali mereka dan mereka juga kenali saya.
Saya bukan tidak pernah bergelumang dengan parti-parti politik, malah sudah muak dan jelek dengan perangai mereka. BN atau PR, bagi saya sama sahaja. 2 kali 5.
Sepanjang pengamatan saya, melayu bukanlah sebodoh yang disangka dalam berpolitik. Jika melayu bodoh melayu tidak akan mampu untuk memimpin politik tanahair. Mungkin benar Melayu majoriti, tetapi apa ada pada majoriti. Di dunia hari ini, umat Islam adalah majoriti tetapi kenapa kita tidak punyai kuasa politik. Jadi disini kita harus berikan kredit kepada bangsa Melayu dalam hal berpolitik. Mungkin ramai yang mengatakan Melayu bodoh, dan kerana kebodohan kitalah yang menyebabkan Melayu terpecah tiga. Saya tidak fikir begitu.
Saya melihat melayu hanya punyai dua masalah dalam berpolitik. Jika umat melayu mampu untuk mengubah dua perkara ini dengan kesesuaian zaman, kita mungkin akan berjaya. Kita memimpin dengan sebenar-benar memimpin. Bukannya memimpin dalam masa yang sama kita dipimpin.
Masalah pertama umat melayu adalah sikap idealisme. Kita terlalu ideal dalam perjuangan. Ini merupakan satu sikap yang baik sebenarnya. Tetapi sama seperti dadah jika ianya disalahgunakan dan diambil secara berlebihan kita sebenarnya hanyalah penagih idealisme. Kita khayal dengan istilah ini dan kita patuh tidak bertempat. Kita melihat dunia ini dengan mata kasar bukan dengan mata hati. Jika kita sudah berikrar akan setia dan menyumbang untuk parti yang kita pilih, kita akan lihat parti itu mulia. Tiada cacat dan cela. Kalau adapun cacat dan cela di depan mata, itu semua angkara musuh yang ingin lihat parti kita hancur. Pempimpin kita semuanya baik-baik. Bila timbul cerita baik baik beliau, kita terliur utk mendengar. Berjam-jam kita tahan mata. Kita senyum sendirian bangga kerana kita telah bertemu dengan perjuangan yang sebenar. Pemimpin yang memperjuangkan nasib kita dan anak cucu kita.
Kita tidak sedar yang sebenarnya kita telah tersilap. Kita telah diilusikan oleh mereka. Kita telah dikhayalkan dengan kemuliaan perjuangan. Kita telah dimabukkan dengan istilah yang kita akan menang dan kita di pihak yang benar. Kita akan mendapat rahmat tuhan atas apa yang kita lakukan. Bertambah yakin kita jika sepatah dua ayat Al Quran dibaca bersama. Kita seperti telah dibomohkan. Kita mula rasa sesiapa yang menyokong pemimpin mahupun parti musuh kita, kita akan rasakan mereka ini telah tersesat. Telah hanyut dengan habuan dunia. Tetapi...
PERNAH TERFIKIRKAH KITA, ada mungkin kita telah dibutakan? Kita hanya melihat apa yang indah pada parti dan pemimpin kita. Kita hanya mendengar apa yang manis tentang mereka. Tetapi sebagai manusia, samada kita ataupun pemimpin kita, adakah kita semua cukup maksum hingga tiada dosa dan noda yang telah dan sedang kita buat? PERNAH TERFIKIRKAH KITA bahawa kita juga kadangkala hanya dijadikan suara majoriti untuk memperlembagakan perlembagaan parti sahaja. Keputusan telah dibuat dan kita hanya disuruh angkat tangan dan menyokong usul yang kita sendiri kurang arif tentangnya.
PERNAH TERFIKIRKAH KITA yang kita telah diperbodohkan dengan sebodoh-bodohnya. Kita hilang saudara dan mara sedangkan mereka pemimpin kita masih boleh minum kopi bersama seteru politik mereka.
PERNAH TERFIKIRKAH KITA kita tidak lebih dari papan dan buah catur politik sahaja. Kita sama seperti saudara sebangsa dan seagama dengan kita yang kita akui sebagai musuh politik kita. Mereka juga senasib seperti kita. Mereka juga dicaturkan seperti kita.
MARILAH KITA BERFIKIR dengan sewaras-warasnya tentang KITA. Tentang diri kita dan saudara –saudara kita.
(Bahagian kedua akan mengupas perihal maslah kita yang kedua dalam berpolitik)
Senario politik Melayu kebelakangan ini terutamanya selepas Pilihanraya ke 12(PRU12) mula memperlihatkan kematangan dan keperkasaan politik Melayu disamping mempamirkan dan memperlihatkan kelemahan dan kebodohan kita.
Cukup malang bagi UMNO selaku tulang belakang Barisan Nasional yang menerima tamparan yang amat hebat walau jika dilihat secara terperinci sokongan melayu kepada UMNO masih boleh dikira setia jika dibandingkan dengan sokongan masyarakat cina kepada Gerakan dan MCA serta sokongan masyarakat india terhadap MIC.
PKR yang dipimpin oleh Dato Seri Anwar Ibrahim(DSAI) yang membawa harapan Malaysia Baru telah mempersonakan hati dan perasaan sesetengah rakyat Malaysia yang agak meluat dengan sikap dan kepimpinan Pak Lah pada masa itu. DSAI telah mengambil beberapa langkah proaktif dan defensif(bertahan) dan ada masanya dilihat begitu ofensif(menyerang). Saya masih teringat kata-kata Rustam Abdul Sani – offensive is the best defence.
Karisma dan aura kepimpinan DSAI bukan sahaja meyakinkan masyarakat melayu malah masyarakat bukan melayu. Ditambah pula dengan simpati terhadap beliau. Adunan ini menjadikan PKR begitu kuat hingga mampu menjadi moderator kepada PAS dan DAP. Sedangkan kedua-duanya boleh dikatakan nature enemy jika dilihat dari teras dan prinsip perjuangan.
UMNO telah mula melalui proses transformasi dan perubahan yang agak ketara selepas PRU12. Mereka mula tersedar dari lamunan dan tengadah selepas terhantuk. Pujian harus diberikan kepada Dato Seri Najib Tun Razak atas usaha pemulihan yang beliau lakukan walau mendapat tentangan dari dalam dan luar UMNO.
PAS pula sekarang ini dilihat seperti mempunyai 2pasukan. Tuan Guru Haji Hadi Awang (TGHA) dan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat (TGNA). TGHA yang dilihat sebagai cukup keras pada era 80 an, kini dilihat begitu bertoleransi dan berhikmah. Manakala TGNA yang dilihat lembut sebelum ini, dilihat agak tegas kebelakangan ini. Perpaduan dan kerjasama UMNO dan PAS yang lebih dikenali sebagai KERAJAAN PERPADUAN dilihat sebagai langkah mula ke arah perpaduan umat melayu. Ianya juga telah dijadikan modal politik oleh kawan dan lawan PAS untuk menukar saf kepimpinan. Kita lega kerana masalah ini akhirnya dapat diselesaikan dengan bijak walau ribut di cawan kopi yang panas. Bagi sayakedua-dua pihak dalam PAS bertindak atas prinsip dan teras perjuangan yang betul.Kita tidak boleh katakan pihak A betul dan pihak B salah dan sebaliknya.
Parti ‘Bateri 3A’.
Melayu sebenarnya memerlukan PAS dan UMNO sebagai wadah teras perjuangan umat melayu Islam. PAS dan UMNO adalah dua musuh yang pernah bersahabat sebelum ini dan mungkinkah akan bersahabat semula?. Allah maha mengetahui.
PAS mempunyai kekuatannya yang tersendiri dalam meraih dan mendapatkan sokongan orang melayu(walau hakikatnya PAS bukanlah parti melayu tetapi parti muslim). Begitu juga dengan UMNO yang telah berakar umbi di dalam jiwa melayu tua dan muda. Ramai yang beranggapan golongan muda menolak UMNO. Bagi saya anggapan ini menggunakan kayu ukur sebelum PRU 12. Memang tidak dinafikan golongan muda begitu membenci keangkuhan UMNO sebelum PRU12 dan inilah yang membuatkan BN tersungkur dengan begitu teruk. Tetapi kasih dan sayang orang melayu masih ada pada UMNO. Walau mungkin kerana aura dan simpati pada DSAI begitu menonjol hingga menampakkan kekuatan PKR tetapi hakikatnya perangai dan tingkahlaku DSAI ada masanya amat menjolok mata dan menyakitkan hati orang melayu terutamanya tentang apa yang berlaku di Selangor dan Pulau Pinang. Golongan muda ini bukan hanya menerima dan menelan bulat-bulat apa yang diberitakan oleh Utusan mahupun TV3 tetapi mereka melihat sendiri sejauh mana kita telah ‘dikerbaukan’ dan dicucuk hidung.
Melayu muda mahupun melayu veteran sudah mula sedar tentang nasib dan masa depan bangsa. PRU12 adalah satu pengajaran tentang kekuatan dan kelemahan kita. Kita mula tahu hati dan budi mereka yang mendabik dada sebagai pejuang rakyat, sedangkan jelas mereka hanya perjuangkan cita-cita peribadi dengan menungang kita seperti keldai bodoh.
Saya berpendapat rakyat Malaysia belum bersedia dan tidak memerlukan parti pelbagai kaum. Biarlah setiap bangsa punyai parti yang memperjuangkan nasib mereka. Salahkah orang melayu berpersatuan dikalangan orang melayu, orang cina dikalangan orang cina dan orang india dikalangan orang india. Selama ini pun kita hanya bergaduh mulut. Peristiwa 13 mei pun tidak diingini oleh sesiapapun untuk berlaku lagi. Tanya lah sesiapa pun jawapannya pasti TIDAK!!!.
Parti politik digerakkan oleh kuasa majoriti ahli dan bukannya digerakkan oleh bateri 3A. Oleh itu sebelum menubuhkan parti pelbagai kaum, kita seharusnya berfikir sepuluh kali tentang kesediaan kita dan kebijaksanaan kita untuk berpolitik. Jika tidak, lebih baik kita punyai parti seperti sekarang.
Kesimpulannya, MELAYU PERLUKAN PAS DAN UMNO DALAM PERJUANGAN TETAPI MELAYU TIDAK PERLUKAN PARTI BATERI 3A UNTUK TERUS BERJUANG...