Wednesday, November 12, 2008

Cermin diri

Perjuangan umat Melayu (siri 1)

Sedih dan amat menyedihkan. Hanya itu perasaan yang dapat saya gambarkan bila melihat senario politik melayu di Malaysia. Setiap hari dan setiap masa kita akan dihidangkan dengan 1001 cerita tentang keadaan politik di Malaysia.

Cerita yang sedih, ,meloyakan dan tidak kurang menakutkan. Umat melayu yang kebanyakkannya beragama Islam seperti telah hilang arah dalam perjuangan. Tercari-cari arah yang dan tujuan seperti orang yang sudah hilang akal dan pedoman.

Begitu ramai 'jaguh-jaguh' politik melayu muncul bila sesuatu isu diperbahaskan samada melibatkan kaum melayu atau agama Islam. Bila dijentik atau terjentik maka melentinglah 'hulubalang' melayu ini.

Masing-masing mendabik dada menjadi wira dalam kelompok bangsa bernama Melayu. Memperjuangkan nasib bangsa melayu konon. Menjadi hero kepada bahasa melayu yang sudah hampir hancuss...

Saya kira ramai antara kira sependapat dengan saya yang bangsa kita (melayu) sebenarnya terkial-kial mencari arah dalam komunitinya dan di tanah airnya sendiri. Sedih dan amat menyedihkan.

Kita sudah seperti sesat di rumah sendiri. Sesat dalam kegelapan yang cukup menakutkan. Kita sudah lemas di dalam lautan yang tidak bertepi. Sedih dan amat menyedihkan.

Masing-masing hipokrit dan berlakon dengan pelbagai watak. Samada watak yang baik mahupun sebaliknya. Watak maharaja dan sultan hinggalah kepada tukang hasut yang durjana.

Tetapi di dalam kekalutan ini kita sebenarnya terlupa yang kita punyai tugas dan peranan yang lebih besar.

Kita akan kupas bersama tanggungjawab dan tugasan besar yang menanti kita dalam siri berikutnya.

Saturday, November 8, 2008

Catatan terbaik MSO

Saya Mahu Cabar Orang Melayu!

SUDAH berdengung telinga kita bila bercakap fasal Melayu. Ketuanan Melayu, politik Melayu, budaya Melayu, Bahasa Melayu dan entah apa-apa saja mengenai Melayu termasuk tahi Melayu. Paling berdengung ialah sikap panas-panas tahi ayam orang Melayu. Sikit-sikit kalau bercakap fasal Melayu maka terbitlah kata peninggalan entah wujud entah tidak kononnya ditinggalkan oleh Hang Tuah; tak akan hilang Melayu di dunia!

Sikit saja timbul mengenai fasal Melayu maka latahnya jadi berkawah-kawah. Masing-masing Melayu melompat dan mengamuk hendak membela kedudukan mereka. Terhunuslah keras di dinding dan keris dalam kain.... Macam-macam sudah kita ada badan atau organisasi membela Melayu. NGO sudah beratus, badan bertindak pula wujud macam cendawan selepas hujan.

Hujan belum turun, berbunyi suara katak saja, NGO atau badan betindak sudah wujud. Semuanya untuk membela, mempertahan, memperkuat, mempersatu, memperkasa dan entah apa-apa mem... lagi untuk Melayu. Walhasil balik asal semuanya nihil kabe nihil...

Jika diperiksa dan dicheck mereka yang duduk dalam NGO atau barisan bertindak itu orang yang sama. Muka tu juga. Cuma mereka tukar nama dan salin baju saja. Kalau diwarung pakai t shit dan jens bila jumpa raja pakai baju cekak musang dan bersamping. Samping itu pun pinjam dari butik!

Hati, pedal dan perut, semuanya sama. Sebab itulah, buatlah berjuta NGO atau badan bertindak natijahnya sama saja. Panas setakat pukul enam petang saja, lepas jam 11 malam, bila jumpa anak bini atau diberikan tea tarik secawan dengan roti kosong mamak yang sudah basi semuanya jadi sejuk dan lemah longlai.

Apa nak jadi dengan Melayu hanya Tuhan saja yang tahu.

Terbaru, sekumpulan Melayu, saya yakin separuhnya orang Umno dan bekas Umno telah menghadap Duli Yang Maha Sultan Perak menyerahkan memorandum menyokong pernyataan khas yang dikeluarkan oleh Raja-Raja Melayu di Terengganu baru-baru ini.

Memorandum itu menyatakan sokongan kepada kenyataan Raja-Raja Melayu. Bagi saya kerja itu membuang masa sahaja. Tidak payah serah memorandum lagi kerana kerja dan tanggungjawab menjaga Melayu itu adalah tanggungjabwab bersama. Raja Melayu sudah pasti akan bertanggungjawab menjaga Melayu. Kalau tidak masakan ianya di namakan Raja-Raja Melayu. Kalau tidak mahu jaga Melayu namakah saja Raja-Raja Malaysia.

Hairannya kenapa pula Raja dan Sultan pun perlu diberi ingatan? Apakah kesemua Raja-raja Melayu pelupa tersampuk penyakit nyanyuk?. Menjadi bangsa yang mudah lupa seperti mana kata Mahathir Mohamad?

Sebenarnya tidak payah berarak menyatakan sokongan. Secara automatik sesiapa sahaja orang Melayu atau merasakan darahnya Melayu kena sokong dan kena pertahankan Melayu. Apabila kita tiba-tiba jadi sibuk macam kucing jatuh anak setiap kali orang perkatakan dan ungkitkan soal Melayu, seolah kita tidak tahu selama ini apakah peranan dan kewajiban kita. Kita tidak tahu apakah yang harus kita lakukan.

Pada masa ini berarak dan meluahkan kemarahan bukan caranya lagi. Apa yang patut dilakukan ialah tindakan dan perbuatan. Ini yang penting. Kita ada kuasa, gunakan kuasa. Dalam era manusia jadi gila dan mabuk, budibicara dan lemah lembut, nasihat sudah tidak diperlukan lagi. Manusia hari ini boleh dilentur dengan undang-undang (hukuman) bukan lagi nasihat!

Kalau dikatakan Melayu bodoh, marah! Dikataknya kita kurang garam dan tidak beradab. Kalau agak keras dan lantang dibilangnya kita perkauman dan dicas di bawah akta hasutan! Kalau dikatakan tidak cerdik, kuranglah marahnya. Begitulah Melayu boleh disejukan dengan bahasa dan kiasan. Sebenarnya Melayu ini bodoh dan tidak cerdik. Kurang akal dan banyak beretorik. Sama-samalah kita menerima hakikat ini tanpa rasa segan dan kesal.

Kerja-kerja mempertahankan Melayu itu dibuat secara bermusim dan bukan istiqamah. Tindakan juga lebih kepada untuk mencari political milaege sahaja. Untuk dapatkan modal politik. Apa lagi di saat-saat hendak bertanding merebut jawatan tetinggi dalam Umno ini semuanya nak tunjukkan diri sebagai hero dan pahlawan Melayu. Semua kononnya keturunan Hang Tuah, Datuk Lela, Datuk Sago, Mat Kilau, Tok Janggut dan lain-lain.

Mereka yang mempertahankan Melayu bukan suci dan ikhlas niatnya. Tetapi mereka mahu menjadikan modal politik. Inilah orang Melayu yang oportunis dan munafik kepada dirinya sendiri dan bangsanya sekali.

Semua itu karut belaka. Begitu juga sebahagian yang menghadap Sultan Perak menyatakan sokongan itu pun karut dan munafik. Merekalah munafik Melayu! Bukan semua sesetengah sahaja, muka mereka boleh dicamkan. Semangat Melayu bukan main lagi tetapi perangai lebih teruk macam orang tidak tamadun. Usah ambil banyak contoh ambil saja dalam gelanggang politik.

Politik wang dan rasuah itu bukan budaya Melayu. Melayu sangat benci kepada perbuatan tumbuk rusuk. Tapi tengok apa yang berlaku dalam politik Umno hari ini. Hari-hari orang cakap fasal rasuah. Pemimpin Umno pula sampai ada yang bergadai bergolak kerana nak dapatkan wang untuk menjamin dipilih dalam mesyuarat cawangan dan bahagian. Malah ada yang bawa wang dengan kapal terabng. Kalau tak hulur wang sesen dua belum tentu akan dicalonkan, menang masih jauh lagi.

Bagi saya formulanya senang saja kalau Melayu benar-benar nak jaga Melayu. Pertama, Melayu kena berpakat jangan bercakar macam anjing dengan kucing. Buang perangai anjing dan kucing. Kalau kucing dan anjing sudah lama membuang tabii mereka kenapa tidak dengan manusia Melayu Pas dan Melayu Umno.

Politik orang Melayu kena satu jangan ada dua atau tiga. Cadangan untuk bubarkan Pas dan Umno, seperti mana kata Tok Guru di Kelantan itu adalah tepat; bubar Umno, bubar Pas dan wujudkan satu parti. Tambak Berlin sudah lama dirobohkan untuk menyatukan Jerman.

Dulu saya mengira baik kalau orang Melayu ada banyak parti macam orang Cina; ada DAP, MCA, Gerakan dan lain-lain. Tetapi kerana kebodohan akal orang Melayu, cara itu nampak tidak boleh dan menjamin keuntuhan orang Melayu. Lagi banyak parti lagi banyak celaru dan harunya. Bertambah-tambah politikingnya.

Orang Melayu tidak sebijak orang Cina dalam berpolitik. Mereka (Melayu) akan mempertahankan parti mereka macam mempertahankan agama. Bila masing-masing mempertahankan parti sebagai agama inilah yang mencelarukan. Sebab itu satu masa dulu ada orang Melayu menganggap kalau memilih parti lain dari parti mereka orang itu dituduh kafir atau pun disifatkan sebagai menderhaka.

Bila sudah jadi satu barulah boleh sepakat. Tetapi ini tidak mungkin berlaku. Orang Pas dan Umno masing-masing degil dan keras kepala. Masing-maisng yang Melayu berusaha nak menegakkan tenaga batin yang lemah. Sebab itulah bangsa paling suka mencari penawar dan herba bagi menguatkan semangat ialah Melayu. Walhal penyatuan kedua parti ini penting. Sebab apa-apa pun keduan parti inilah yang menjadi ikon orang Melayu. Kalau mereka bersatu maka akan bersatulah Melayu dan kedudukan Melayu akan jadi kuat.

Saya tidak pastikan apakah Melayu berbangsa Umno dan Melayu berbangsa Pas menyedari akan kerugian disebabkan tindak tanduk mereka itu. Kenapa bangsa lain jadi besar kepala menuntut itu dan ini kerana Melayu berpecah. Kalau Melayu kuat, bersatu, tidak ada ruang untuk apa-apa anasir masuk mencelah kemudian membelah seterusnya memerintah.

Dengan ada dua puak, Umno dan Pas maka mereka mencari ruang dan mengambil kesempatan. Merekalah menjadi syaitan, sepuak menghasut Pas dan sepuak lagi meghasut Umno. Tujuan mereka mahu melihat Umno dan Pas bergaduh dan bila keduanya berkekah, (bergaduh) senanglah untuk mereka menguasai keadaan atau bermain tarik tali. Unsur ini tidak disedari kerana orang Pas dan Umno tidak mengamalkan membaca surah al-Ikhlas!

Apakah Melayu Pas dan Melayu Umno sedar hakikat ini? Saya tidak nampak kalau hanya setakat NGO yang keahliannya berapa kerat saja itu menuntut kepada penyatuan Melayu ia akan membawa kejayaan. Buatlah berapa banyak NGO dan badan bertindak ia tidak membawa kejayaan. Selagi Umno dan Pas tidak bersatu maka selama itulah perpecahan akan berlaku.

Mungkin pada perkiraan saya orang Melayu suka kepada perpecahan kerana hasil perpecahan itu beberapa kerat dari mereka mendapat keuntungan. Mereka yang untung itulah keturunan Mandaliar, Patih Karma Wijaya dan sejenis dengannya manakala yang bakal menanggung kerugian adalah anak cucu cicit sang Pak Pandir, Lebai Malang, Pak Kadok dan bangsa sejenis dengannya. [wm.kl 11:45 am 07/11/08]

Tuesday, October 7, 2008

Perjuangan PAS 'tidak lengkap' tanpa Cromok

Ramai yang pasti mengerut kening dan dahi serta mengatakan saya gila apabila membaca tajuk saya hari ini.

Tetapi itulah kenyataan yang saya rasakan harus difahami dengan jelas oleh pimpinan PAS khasnya Dewan Pemuda PAS. Walaupun agenda dan teras perjuangan PAS amat bertentangan dengan konsep kumpulan rock metal melayu ini(Cromok) tetapi hakikat tetap hakikat. Tanggungjawab tetap tanggungjawab dan dakwah tetap berhikmah.

Sebelum anda 'melontarkan' jauh-jauh pandangan saya ini, harapan saya berilah peluang untuk membaca dahulu apa yang ingin saya nyatakan. Berikan sedikit masa anda untuk menilai sejauh mana kebenaran pandangan saya. Fikirkan dan renungkan selapang-lapangnya.

Untuk membuatkan anda lebih santai, saya berikan link ini untuk anda mendengar alunan muzik Cromok sambil membaca pandanga saya yang jahil ini (background music).


Kita selalu benar akan menjadi penghukum terhadap sesuatu tanpa kita menilai mengapa dan kenapa sesuatu itu berlaku. Sebab dan musabab. Salah dan silap kita.
Fanatisme kita mengatasi segalanya. Jika kita di dalam jamaah Islam, hanya kita yang benar dan agak sukar kita menerima pandangan orang lain terutama orang yang tidak sebulu dan sehaluan dengan kita.
Zaman Cromok
Ramai antara kita yang dibesarkan di zaman arena rock metal Cromok. Malah ramai juga di antara kita yang pernah mengoyangkan kepala (banging) dengan alunan muzik ini sebelum kita di tarbiah untuk kembali kepada kebenaran. Malah saya yakin ramai juga yang cukup arif dengan kumpulan Cromok ini melebihi apa yang saya tahu.
Sedar atau tidak kumpulan Cromok ini adalah kumpulan metal melayu yang cukup berjaya dulu, kini dan selamanya(maafkan saya kerana meminjam kata-kata ini). Rasanya belum ada kumpulan rock metal melayu yang begitu berjaya walau ramai yang mengakui mereka hanya mendengar orang menjerit dan irama lagu daripada memahami senikata yang disampaikan.
Malah ramai yang menghukum kononnya Cromok ini 'sesat' dan 'menyesatkan'. Kumpulan ini memperjuangkan sesuatu yang melekakan anak muda melayu dan membawa pelbagai budaya yang berwarna kuning, biru, merah mahupun hitam.
Anggapan kita
Cuma kerana anggapan sebegini maka mata kita terpejam rapat untuk mengetahui mengenai kegigihan anak-anak muda melayu ini dalam memperjuangkan muzik mereka. Kesungguhan mereka dalam berjuang di aliran mereka. Sikap dan komitmen mereka yang mungkin boleh dimanfaatkan untuk kerja Islam.
Kita mengatakan mereka ini lalai dan 'lagha'. Kita juga menghukum mereka sebagai golongan yang tidak mengimpikan sebuah perjuangan yang ideal seperti kita. Golongan yang terpesong jauh dari kebenaran.
Tetapi persoalannya adakah kita pasti dengan apa yang kita rasakan. Adakah benar tanggapan kita terhadap 'kelalaian' dan 'lagha' mereka.
Kita juga terlupa bahawa manusia dibesarkan dengan persepsi dunia yang berbeza-beza dan adalah tanggungjawab kita untuk memperbetulkan 'kiblat' semua hamba Allah ke arah kiblat yang satu.
Pernahkah kita?
Kita tidak pernah cuba mendekati golongan sebegini untuk menyelami apa yang terbuku di hati mereka. Hanya kerana mereka memperjuangkan muzik dan mungkin tidak berjubah seperti kita maka kita katakan mereka ini hanyut. Dan kita terus menghukum mereka untuk terus hanyut tanpa menghulurkan tangan untuk membantu.
Adakah kita sudah boleh mendabik dada dan mengakui kita ini alim dan ulama hanya kerana setitik ilmu Allah yang dianugerahkan kepada kita tetapi kita membiarkan saudara kita terus hanyut dibuai dunia yang melekakan ini.
Terlupakah kita Cat Stevens juga pernah sesat tetapi akhirnya kembali ke alam nyata yang disuluhi kebenaran.
Fikirkan dan renung-renungkanlah apakah tanggungjawab kita kepada mereka...

amuk

Thursday, October 2, 2008

SIRI Ingatkah kita ; Nasib 'maklang'

'maklang' adalah panggilan hormat yang diberikan kepada golongan yang menjadikan tubuh badan sebagai bahan dagangan. Istilah lembut ini digunakan oleh generasi tua jika berbicara tentang golongan ini bila berhadapan dengan golongan muda atau kanak-kanak. Kata nama yang lembut bunyinya ini adalah untuk menyembunyikan betapa keji dan hinanya kerjaya ini sebenarnya. Asalnya perkataan maklang ini adalah dari perkataan 'jalang' yang cukup hina.



Jalang, pelacur, pekerja seks dan beribu lagi perkataan yang mungkin diungkapkan sekiranya kita merasa sesorang itu cukup hina. Malah ada yang mengatakan ini adalah kerjaya yang tertua di dunia. Saya kurang pasti kebenaran kenyataan ini. Namun apa yang boleh kita simpulkan hanya satu, kerjaya ini amat hina lagi menjijikkan.

Pada bulan syawal yang mulia ini, saya mula terfikir tentang nasib mereka. Adakah mereka juga berhari raya seperti kita? Atau adakah mereka sedang 'menjalankan tugas seperti biasa'?

Kita akan menghina golongan ini dan meletakkan kesalahan secara total kepada kelompok yang dihina dan dibenci oleh manusia bertamadun dan tuhan yang maha mulia. Di dalam penghinaan dan kebencian ini kita harus sedar bahawa jika manusia itu normal dan waras pastinya ini bukannya jalan yang ingin mereka tempuhi saban hari. Ada di antara mereka yang terpaksa dan dipaksa. Saya tidak bermaksud untuk membela golongan ini tetapi sebagai hamba Allah yang biasa pastinya terdetik juga rasa simpati kepada mereka khasnya yang sebangsa dan seagama dengan kita. Di dunia ini mereka dihina dan di akhirat elak 'hanya Allah yang lebih mengetahuinya'.

Di hari baik dan bulan baik ini, perlu rasanya kita renungi bersama apakah nasib mereka. Apakah perasaan mereka?

Kita juga sepatutnya bersyukur kerana kita tidak dijadikan begitu dan pastinya tugasan kita untuk membawa mereka kembali kepangkuan masyarakat dan landasan agama yang Allah Redhai.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI...

Wednesday, September 24, 2008

Berkasih sayang sesama pemuda.

Menghayati hasil nukilan hati penulis yang menjadi idola saya di dunia penulisan, Azizi Hj Abdullah, membuat saya tersentuh. Saya tersentuh kerana masih ada insan yang berani menyatakan benar walau hakikatnya dituduh mengeluarkan kenyataan 'songsang'. Berikut saya letakkan link kepada tulisan beliau;

Bagi saya ini adalah pandangan yang ikhlas dan jujur demi untuk melihat kesinambungan perjuangan yang luhur oleh parti PAS. Walaupun saya bukanlah ahli kepada mana-mana parti tetapi jika cadangan yang akan membawa kebaikan kepada semua dan agama saya, pastinya saya tegak berdiri walaupun berada di barisan terkebelakang.
Saya melihat PAS sebenarnya cukup relevan dengan perjuangan golongan tua dan muda, berpendidikan barat ataupun timur tengah. Ini kerana PAS memperjuangkan Islam(Dasar Parti). Islam itu untuk semua pada bila-bila masa di mana jua.
Cuma mungkin kelemahan pimpinan pas untuk mewujudkan suasana yang kondusif bagi golongan muda, menyebabkan mereka ingin bertukar selera. Dewan Pemuda PAS Pusat(DPPP) mungkin kurang memberikan tumpuan kepada golongan muda atau mungkin bagi sesetengah ahli PAS(pemuda) mereka 'belum cukup bersedia'.
Dalam hal ini saya melihat kita kekurangan sesuatu yang sebenarnya amat penting. Sesuatu yang harus diperhalusi dengan sepenuh hati dan jiwa. KASIH SAYANG. Saya rasa ramai juga akan tersenyum kambing bila kita membicarakan kasih sayang terutama di kalangan pemuda dengan pemuda. Tidak terlintas pun saya untuk mengajak saudara-saudara saya untuk menjadi golongan yang dikutuk Allah dan rasulNya. Tetapi apa yang saya maksudkan ialah kasih sayang kita sesama saudara yang berjihad dan berjuang di wadah yang sama.
Kadangkala disebabkan kita cukup 'keras' maka kita tidak boleh untuk berlembut atau bersentimental untuk memikirkan tentang kekurangan kasih sayang di dalam ukhuwah kita. Bila kita tidak mengasihi saudara seperjuangan kita maka kita mudah untuk melupakan prinsip perjuangan dan seterusnya kita tidak pula diperingatkan oleh sesiapa.
Fenomena kekurangan kasih sayang ini bukan sahaja wujud di dalam PAS tetapi ianya juga wujud di dalam UMNO. Inilah yang menyebabkan kita mula untuk bermusuh dengan sahabat sendiri walaupun hakikatnya kita tidak sepatutnya begitu.
Fikir-fikirkan...

Tuesday, September 23, 2008

Semangat zaman tahanan ISA

Saya bersetuju benar dengan pendapat saudara Roslan SMS mengenai perangai Teresa yang bagi saya boleh disifatkan manja. Saya melihat beliau bertindak untuk menambahkan tekanan kepada kerajaan dengan mendedahkan tatacara layanan terhadap tahanan. Layanan kesopanan(kemanusiaan) yang diakui baik tetapi hidangan makanan seperti binatang.

Apabila saya melihat telatah Teresa, teringat saya kepada Dr Burhanuddin Al Helmy. Kebetulan beliau juga anak Taiping dan saya juga berasal dari sana. Saya masih ingat bagaimana pernah diceritakan beliau telah mengidap penyakit sukar untuk buang air kecil selepas dibebaskan. Ini semua gara-gara deraan psikologi terhadap beliau. Setiap kali beliau hendak membuang air kecil, pastinya dia dipanggil pengawal penjara kononnya ada orang ingin berjumpa. Tidur di bilik yang gelap dan sebagainya. Makanan rasanya tidak perlu untuk kita bicarakan lagi.

Tetapi apa yang kita lihat, semangat juang beliau semakin membara. Malah di kesempatan inilah beliau dan pejuang Islam yang lain gunakan untuk menulis dan membaca. Hasil karya 'tahanan' ini cukup hebat dibaca dan meremang buku roma kita bila kita menatapinya dengan sepenuh hati. Mereka tidak begitu emosional. Mereka faham inilah yang perlu dibayar untuk perjuangan mereka. Cuma rasanya kita sahaja yang belum mampu membayar balik perjuangan mereka dan masih berhutang budi dengan mereka.

Inilah akhlak pejuang Islam yang sejati. Kita dapat lihat dengan jelas kegigihan mereka untuk terus berjuang walau apapun rintangan yang mereka lalui.

SELAMAT BERJUANG UNTUK PEJUANG ISLAM YANG TULIN DAN SEJATI

Sunday, September 21, 2008

Menyertai PAS?

Sambil membuat kerja, sempat juga saya menjeling seketika ke harakahdaily.net dan saya tertarik untuk membaca artikel "Masa untuk menyertai PAS " oleh TG Abdul Hadi Awang.

Saya lihat ini adalah pelawaan seorang presiden PAS dan jemputan cukup sopan dan lembut.

Inilah yang kadangkala membuatkan saya tersenyum sendirian. Satu masa dahulu TG Abdul Hadi dilabel sebagai seorang yang tegas dan keras. Berbeza benar dengan watak TG Nik Abdul Aziz, yang dilihat lebih lembut dan boleh dibawa berunding. Tetapi kebelakangan ini saya melihat senario mula berubah. TG Abdul Hadi dilihat agak lembut(bukan lembik) dan cukup diplomatik. Beliau berpandangan jauh dan melihat kaedah dakwah adalah kaedah terbaik dalam menyampaikan sesuatu. Beliau tidak lagi dilihat sebagai 'penghukum' tetapi pendakwah yang sebenar. Tahniah buat TG Abdul Hadi. Karektor berbeza kita boleh lihat pada TG Nik Abdul Aziz kebelakngan ini. Tetapi saya tetap berbaik sangka yang TG Nik Abdul Aziz mengambil tindakan sebegini kerana keperluan semasa.

Berbalik kepada artikel tadi, saya melihat penjelasan TG Abdul Hadi cukup baik. Penjelasan yang jelas dan mempunyai fakta yang jelas terutamanya berkaitan dengan perlembagaan PAS. Selain itu beliau juga menerangkan dengan jelas keadaan semasa dan mengapa perlunya menyertai PAS.

Namun begitu saya melihat seruan ini lebih kepada ahli-ahli UMNO walaupun TG ada menyatakan tentang 'penghijrahan' rakyat Malaysia. Beliau ada menegaskan;

"Bertitik tolak dari hakikat ini, maka PAS sudah lama bersedia untuk mengisi kekosongan politik yang ditinggalkan oleh Umno ini. PAS percaya bahawa ahli-ahli dan pimpinan Umno ini boleh memberi sumbangan tenaga mereka menerusi PAS."

Bagi saya TG juga harus melihat kepada mereka yang tidak berparti seperti saya. Seruan yang khusus harus juga diberikan kepada individu 'atas pagar' seperti saya. Kami juga sebenarnya mencari wadah yang sesuai cuma mungkin belum bertemu atau belum sampai seru...

Thursday, September 18, 2008

Haruskah kita bergembira

Buah Cempedak di luar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Saya budak baru belajar
Kalau salah tolong tunjukkan

Rasanya inilah pantun terbaik yang dapat saya berikan kepada saudara pembaca untuk menggambarkan perasan ingin tahu saya. Saya ingin benar mengetahui tentang hal ini. Apa hukumnya dan adakah ianya dibolehkan?

Sambil berbuka tadi, saya membelek Harakah bil 1375 yang dibeli kawan serumah. Minat juga saya membacanya dan itulah kebiasaannya kerana housemate saya pasti membelinya setiap keluaran. Saya sekadar tumpang membaca.

Sedang saya membaca, terpaku saya seketika kepada satu kolum berita di muka N3. Tajuknya cukup menarik. " Nik Aziz 'gembira' Mahathir sertai Umno semula".

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah antara pemimpin yang saya hormati di Malaysia. Akhlak beliau sememangnya menggambarkan kehidupan seorang mukmin yang sejati(pada pandangan saya). Kesederhanaan seorang pemimpin yang hebat dan cukup merendahkan diri dan berkhidmat kerana Allah(pada pandangan saya).

Tetapi saya terkejut bila artikel ini melapurkan (walau dipetik dari Bernama tetapi disiarkan oleh Harakah) TG Nik Aziz berkata " Saya seronok kerana Dr Mahathir telah timbulkan kacau bilau dalam Umno". TG Nik Aziz juga turut menjelaskan bahawa beliau tidak nampak logiknya bila Mahathir menyerang dari luar. Beliau berkata "Bila beliau serang dari dalam itu betul dan saya seronok kerana ia dapat melemahkan Umno".

Persoalan yang bermain difikiran saya, adakah kita patut bergembira dengan kelemahan dan kesengsaraan musuh kita sedangkan musuh kita itu satu bangsa dan satu syahadah dengan kita? Dimanakah pendekatan dakwah kita? Adakah kita mengikut sunnah Rasulullah?

Tolonglah. Tolonglah jelaskan kepada saya yang jahil ini...

Wednesday, September 17, 2008

Pertukaran Potfolio

Sebentar tadi Pak Lah telah mengumumkan pertukaran potfolio kementerian iaitu daripada Kementerian Kewangan (Menteri Kewangan I) kepada Kementerian Pertahanan. Manakala timbalan beliau pula(Najib), akan berpindah dari Kememterian Pertahanan ke Kementerian Kewangan (Menteri Kewangan I).

Selain itu Pak Lah juga mengumumkan mereka berdua masih bersetuju dengan Pelan Peralihan Kuasa 2010. Walaubagaimanapun beliau akan bersara lebih awal jika prestasi Najib cukup meyakinkan.

Pertukaran potfolio di dalam suasana politik sekarang, menimbulkan sedikit tandatanya kepada gentleman agreement antara beliau dan Najib.

Walau pun begitu, sebagai rakyat terbanyak kita masih mengharapkan pertukaran (swap) ini adalah untuk kebaikan Rakyat Malaysia. Tanpa sebarang prejudis kita doakan agar Malaysia terus makmur dan bahagia.

Amin...

Tuesday, September 16, 2008

Tahniah atas ketegasan anda...

2 kali 5 ingin merakamkan ucapan tahniah atas ketegasan YB Zulkifli Nordin kerana menjadi MP yang mempunyai pegangan dan stand yang jelas tentang perjuangan.

Inilah pemimpin yang diharapkan. Bersiakp rasional dalam membuat keputusan.

Rujuk artikel berikut dan renungi dengan ikhlas :

I may not be the best muslim, but I'll do my best for Islam...

Malaysia politics


Sikap orang kita

Semestinya peristiwa 16 september adalah sesuatu yang cukup hangat diperkatakan sekarang. Bahan berita ini sentiasa memenuhi media arus perdana atau media alternatif. Pelbagai komen dan pendapat dikemukakan. Ada yang pro dan tidak kurang yang bersikap kontra.

Dalam memperkatakan apa yang sedang dan bakal berlaku, orang kita akan terus membuat pelbagai andaian dan spekulasi. Saya rasa tidak perlu untuk saya menyendatkan lagi dunia spekulasi ini dengan pelbagai tekaan dan pandangan.

Apa yang ingin saya utarakan cukup mudah. Sikap kita bila berhadapan dengan spekulasi.

Mungkin bagi penyokong Pakatan Rakyat ini bukanlah satu spekulasi tetapi harapan baru untuk Malaysia. Bagi yang yang tidak begitu menyokong ini lebih kepada retorik politik. Malah ada juga yang mengambil sikap tak kisah dan tidak punya masa untuk ambil kisah.

Saya berpendapat orang melayu harus diberikan kredit lebih jika kita berbicara tentang perjuangan. Saya tidak bermaksud untuk menafikan atau menidakkan perjuangan kaum lain tetapi saya berpendapat semangat pada orang melayu lebih "kaww". Orang melayu memang terkenal dengan sikap sensitif dan semangat berjuang yang agak tinggi.

Sikap ini ada positif dan ada negatifnya. Ianya terpulang kepada kaedah dan wadah yang dipilih. Kita lihat dewasa ini perjuangan UMNO sudah seperti tersisih dari hati golongan muda. Perjuangan PKR mahupun PAS mendapat tempat di hati golongan ini.

Bila darah muda yang berjuang, pastinya semangat yang ada cukup membara tetapi kesabaran agak kurang. Segalanya ingin cepat dan panas. Tidak panas tidak kaww.

Bila sesuatu perjuangan itu terlalu panas dan kesabaran pula semakin berkurang, maka kita sudah kehilangan hikmah dalam perjuangan. Jarang dinilai sesuatu secara mendalam. Jika majoriti mengatakan ya maka kita mengatakan ya. Kita sudah kehilangan sikap rasional dalam menilai sesuatu. Menerima sesuatu tanpa meneliti kesahihan dan sentiasa menyalahkan orang lain tanpa cuba bersangka baik.

ADAKAH INI KAEDAH PERJUANGAN SEBENAR ? Bersama kita fikirkan...

Sunday, September 14, 2008

Sumber : Roslan SMS ( http://n32.blogspot.com )

Iktibar dari semangat Badar

Hari ini kita menempuh hari berpuasa yang ke 14. Operasi ibadah menahan diri dari makan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa terus kita kerjakan dengan tekun disamping mempertingkatkan amal ibadah kita bagi mengejar ganjaran yang melimpah-ruah dibulan yang penuh barakah ini.

Buku "Fiqh al Harakah dari Sirah Nabawiyyah" karangan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang yang telah beliau usahakan puluhan tahun dahulu terus menjadi teman bacaan saya walaupun telah dibaca berulangkali sebelum ini. Selain beberapa peristiwa besar yang berlaku dizaman Rasulullah saw, sempena Ramadhan ini sudah pasti persitiwa Peperangan Badar akan terus disebut-sebut dan dihayati oleh mereka yang beriman.

Peperangan besar yang pertama yang melibatkan umat Islam di bawah kepimpinan Rasulullah saw ini berlaku pada tanggal 17 Ramadhan 2 Hijrah bersamaan 17 Mac 624 masehi.
Bayangkan para sahabat yang hadir dalam peperangan tersebut melontarkan diri ke barisan hadapan dalam keadaan menempuh bulan puasa. (Menurut Tuan Guru: perintah mewajibkan puasa Ramadhan diturunkan pada bulan Syakban tahun kedua hijrah).

Berkemungkinan disaat ini (kalau boleh kita bayangkan) 14 Ramadhan sudah pastilah para sahabat ketika itu sedang sibuk menyediakan diri bagi menghadapi bala tentera musuh yang lebih besar dan siap dengan kelengkapan, peralatan dan kenderaan tunggangan. Mereka bergerak dalam satu saf dari Medinah menuju ke Badar dengan bilangan antara 313 ke 317 orang sedangkan sebagaimana yang kita ketahui bilangan tentera musyrikan Mekah jauh lebih besar dari mereka.

Menurut Tuan Guru:

Jumlah anggota tentera musyrikin ialah 1,300 orang dengan 100 ekor kuda (tentera Islam cuma 2 ekor kuda), 600 baju rantai dan unta yang banyak yang tidak diketahui bilangannya. Setiap hari mereka menyembelih antara 9 atau 10 ekor unta.

Saya sayu membayangkan bagaimana bersemangatnya tiap-tiap ahli Badar ketika itu. Pastilah mereka telah dibentuk dengan begitu baik dan sempurna oleh Rasulullah saw sehingga mereka bersedia sahaja memikul amanah besar ini tanpa memikirkan risiko dan implikasi, hanya semata-mata yakin dan berbekalkan keimanan kental pada Allah dan Rasul Nya.

Perhatikanlah apabila Rasulullah saw bertanyakan pandangan para sahabat ketika itu, ternyata masing-masing taat dan patuh serta yakin penuh terhadap kepimpinan Rasulullah saw. Tiada sedikti pun syak atau ragu-ragu yang terdetik dari benak mereka masing-masing. Tuan Guru merakamkan betapa Miqdad bin al Aswaad r.a telah berkata kepada Rasulullah saw:

Wahai Rasulullah teruskanlah apa yang telah ditunjukkan kepadamu oleh Allah, kami bersama, demi Allah. Kami tidak berkata kepadamu sebagaimana Bani Israel berkata kepada Nabi Musa: Pergilah kamu bersama tuhanmu, berperanglah kamu berdua (Musa dan Harun), mai mahu tinggal disini sahaja, tetapi kami berkata: Pergilah kamu bersama Tuahnmu, kami pasti akan berperang bersama kamu, maka demi Tuhan yang membangkitkan kamu dengan kebenaran, kalau engkau berjalan dengan kami ke Birk al Ghamad (satu tempat yang jauh di Yaman) nescaya kami pergi bersamamu sehingga sampai walau apa pun terjadi.

Begitulah pengikut yang berdisiplin, yang mantap dan tegas yang telah dilahirkan oleh Rasulullah saw. Begitulah sumber kekuatan Islam ketika itu yakni bersandarkan kepada pendukung Islam yang seumpama itu lantas menunjukkan kepada kita pilihan yang ada hanyalah samada kita berusaha menjadi seperti mereka atau kita menjadi hina sebagaimana Bani Israel.

Dari pernyataan seperti inilah Rasullah telah disuntik dengan keyakinan yang terus membakar semangat Baginda yang dipimpin pula oleh Allah swt. Pastilah mana pemimpin pun sekiranya inilah jenis pengikut yang berada disisinya, ia akan menjadi kuat dan kuatlah iltizam dan semangat juangnya. Inilah contoh hidup yang telah ditunjukkan oleh Baginda kepada kita, yang perlu kita turuti selagimana kita kekal mewarisi perjuangannya.

Lihatlah bagaimana kenyataan seorang lagi sahabat sebagaimana yang dinukilakn oleh Tuan Guru. Saad bin Muadh r.a telah menyatakan pula kepada Rasulullah saw:

Demi sesungguhnya kami telah beriman kepadamu, percaya kepadamu, kami bersaksi bahawa apa-apa yang kamu datangkan kepada kami itulah yang benar dan kami berikan atas dasar itu janji-janji dan ikatan kesetiaan. Kami bersedia mendengar dan taat kepadamu.

Maka teruskanlah wahai Rasulullah kepada apa sahaja yang engkau kehendaki. Maka demi Tuhan yang membangkitkan kamudengan kebenaran, kalau sekiranya kamu bentangkan kepada kami laut yang luas lalu engkau mengharunginya, nescaya kami akan mengharunginya bersamamu, tiada seorang pun diantara kami yang akan mundur ke belakang dan tidaklah kami merasai benci apabila engkau bertemu musuh dan kami akan bersamamu besok (dalam Perang Badar).

Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang sabar di medan perang, benar mengotakan apa yang kami katakan sekiranya bertempur dengan musuh dan mudah-mudahan Allah membuktikan kepadamua dari kami, apa yang memuaskan hati kamu dengan melihat sendiri apa yang kami lakukan.

Marilah kita teruskan perjuangan, mudah-mudahan Allah memberkati kita.

Demikianlah kesungguhan para sahabat yang akhirnya menyaksikan betapa bilangan mereka yang kecil namun berdisiplin dan taat pada Allah dan Rasul akhirnya berjaya menunjukkan ketumbukan tentera yang lengkap dan tersusun diketuai Abu Jahal yang akhirnya mati terkorban di Medan Badar.

Ayuhlah kita ambil iktibar darinya, mudah-mudahan kita semua beroleh barakah dan terus berada di bawah naungan Nya.

Sumber : http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/

Berbeza Pandangan ( khilaf )
Jangan dibaca dengan Perbalahan .

Sukar untuk kita sependapat dalam semua hal. Banyak keadaan yang mendorong berlakunya perbedaan pandangan dan pendapat dikalangan kita.

Namun dalam gerakan Islam seperti PAS ini saya lihat banyak perkara yang kita bersama dan sependapat kecuali dalam beberapa perkara yang tertentu sahaja meletakkan kita dalam keadaan yang berbeda dalam pandangan bahkan tindakan.

Saya kira fenomena ini normal . Cuma perkara yang perlu dipelihara ialah rasa hormat menghormati antara satu sama lain sekalipun disaat kita berkhilaf pandangan .

Islam adalah agama yang kaya dengan pengalaman menangani persoalan khilaf seperti ini . Bermula dari khilaf feqhiyyah hinggalah kepada khilaf siasah dan mazkhuriah ( strategi ) . Kita boleh melihat melalui skrin sejarah silam yang memaparkan pengalaman khilaf sejak zaman khulafa' ar Rasyidin hinggalah ke zaman ulama' 4 serangkai yang mengasaskan 4 mazhab ( aliran feqh ) yang berbeza .

Khilaf ini terus wujud hingga ke hari ini tanpa merosakkan Islam sebagai agama yang suci dan juga merupakan sebuah perjuangan yang mulia .

Sikap kita dalam menanggapi khilaf

Saya tidak nafikan berlakunya pergolakan dan ketegangan dikalangan sebahagian umat Islam tatkala berhadapan dengan khilaf di kalangan mereka samaada melibatkan khilaf feqhiyyah mahupun khilaf siasiyyah . Namun pergolakan atau ketegangan tersebut bukanlah tercetus kerana khilaf tetapi sebaliknya kerana sikap .

Telah saya tegaskan tadi bahawa khilaf suatu yang benar - benar wujud dikalangan kita dalam apa jua persoalan . Tetapi sikap memainkan peranan besar dalam membentuk natijah yang tercetus dari khilaf tersebut .

Sikap dengan maksud bagaimana ia menanggapi kandungan atau betul duduk perkara yang dikhilafkan dan bagaimana pula persepsinya terhadap orang yang berkhilaf dengannya. Yang salah ialah apabila lahir sikap yang negatif berasaskan prasangka busuk lantas memburukkan peribadi mereka yang berkhilaf dengannya .

Sedang khilaf hanya membenarkan kita attack hujjah , pandangan dan tindakan bukan attack peribadi , moral dan diri orang yang berbeza pandangannya dengan kita . Khilaf yang membawa kepada pertikaian peribadi , moral dan reputasi adalah . sebuah khilaf yang mazmumah .

Saya sangat tidak selesa apabila perbedaan pendapat ( khilaf ) dibaca sebagai satu perbalahan justeru ia dua perkara yang sangat jauh bezanya.

Kenapa tidak kita bersikap positif terhadap perbedaan pendapat . Tak kan lah kita hanya mahu pandangan kita satu - satunya yang diterima dan mesti dianggap benar . Saya beranggapan inilah sebenarnya keadaan yang tidak sihat .

Sebagaimana yang saya nyatakan tadi bahawa pengalaman khilaf atau berbeza pandangan dalam apa jua perkara sememangnya menjadi sejarah panjang mengiringi perkembangan peradaban dan pemikiran umat Islam .

Khilaf ( berbeza pandangan ) sebenarnya tidak salah malah tidak mengapa andainya ia wujud dikalangan kita . Terimalah ia dengan lapang dada , melambangkan luasnya peranan pemikiran selama mana ia tidak melewati batas agama suci yang di wahyukan Allah swt. justeru tiada aqal yang boleh mengatasi wahyu .

Salahnya ialah apabila berlaku Niza' ( perbalahan ) ekoran gagal menerima pandangan yang berbeza dengan kita malah ditanggapi orang yang berbeza dengan kita melalui tanggapan yang negatif dan sinis . Allah swt. telah menegaskannya di dalam al quran :

و لا تنازعوا فتفشلوا و تذهب ريحكم

dan janganlah kamu saling bertelingkah antara satu sama lain maka kelak celakalah kamu dan hilanglah kekuatan .

Niza' adalah pendekatan orang yang ber"agenda"

Inilah situasi yang perlu dan wajar kita elak . Ianya adalah persoalan sikap yang mesti diperbetulkan . Selama mana ruang khilaf itu berasaskan hujjah , ilmu , fakta dan pengalaman yang benar dan baik maka kita tidak perlu panik lalu melatah dengan pelbagai prasangka yang mengheret khilaf menjadi krisis .

Tentu sahaja khilaf yang dibenarkan ( masyru' ) ini mempunyai hikmah yang besar kepada umat Islam , perjuangan dan jamaah yang didokong . Lantaran ia meletakkan umat Islam dalam banyak pilihan yang dibenarkan dan ianya adalah antara keluasan rahmat Ilahi ke atas hambanya.

Biasanya , orang yang suka bertelingkah apabila berbeza pandangan adalah orang yang tidak boleh menerima hakikat pandanganya ditolak . Ia merasakan hanya pandangan dia sahaja yang betul dan dia mahu orang menerimanya . Sikap ini adalah sikap yang sangat tidak baik dan menjadikan Islam seolah - olah rigid dengan satu pandangan sahaja iaitu pandangan dia.

Lebih malang jika ia tidak boleh menerima pandangan yang berbeza atau pandangan lain dari apa yang ia pandang kerana ia mempunyai agenda tersendiri atau peribadi yang cuba dijual dan disogok kepada orang ramai supaya menerimanya. waliyazubillah .

Sahabat - sahabat ku seperjuangan .

Apakah apabila kita berbeza pandangan maka kita merasakan bahawa tiada langsung benarnya pandangan orang lain ? tanyalah hati kecil kita . Apakah hanya kita sahaja yang benar lagi benar dalam segala hal sehingga orang lain tidak berhak untuk membuat pandangan yang berbeza dengan kita ?

Tambahan pula yang berbeza pandangan dengan kita ialah sahabat seperjuangan kita . Orang atau individu yang bergerak seiring sejalan dengan kita meredah payah sukar perjuangan ini . Setelah sekian lama kita bersahabat dan sependapat , tiba - tiba satu perkara meletakkan kita berbeza pandangan , apakah hilang terus kepercayaan kepada sahabat kita kerana perbezaan itu ? apakah perbezaan itu juga menyebabkan hilang segala kebaikan dan nilai murni persahabatan sehingga kita mengecamnya lantaran berbeza cara memandang ?

Jika dengan orang yang sebelum ini asing dan jauh dengan kita , malah sering berbeza pendapat atau pandangan dengan kita boleh digauli dengan penuh toleransi dan sikap positif hanya kerana satu dua persamaan , kenapa kita tidak boleh toleransi dengan sahabat seperjuangan kita , hanya kerana satu dua perbezaan pandangan ( khilaf ) sedang selama ini kita sering bersama dan sependapat .

Sikap Ulama' dalam berbeza pandangan ( khilaf )

Saya yakin dan percaya sebagaimana yang saya lontarkan dalam muktamar sewaktu saya berucap membahas ucapan dasar Dato' Seri Presiden , bahawa khilaf yang berlaku diantara kita masih berlandaskan rasa cinta dan kasih terhadap perjuangan ini . ( sementara kita berlindung dengan Allah swt. dari sebarang unsur khianat kepada perjuangan ) Masing - masing berlumba - lumba mahu mengangkat martabat perjuangan . Di sinilah khilaf itu berlaku dalam mengambil pendekatan , strategi dan tindakan ke arah merealisasikan cinta dan kasih terhadap perjuangan suci lagi mulia ini .

Akhirnya , kita boleh belajar melalui sikap yang ditunjukkan olek ulama' silam dalam menangani khilaf antara mereka . Antaranya Imam Asy Syafie , tatkala ia solat berhampiran maqam Imam Hanafi , Imam Asy Syafie solat mengikut tertib cara yang diajar oleh Imam Hanafi .

Selesai solat dan ketika menjawab soalan dari orang ramai yang menyaksikan cara Imam Asy Syafie solat nyata berbeza dengan apa yang beliau sendiri mengajarkannya kepada orang lain lalu Imam Asy Syafie berkata : " aku menghormati tuan empunya maqam ini " seraya menunjuk ke arah maqam Imam Abu Hanifah .

Inilah sikap yang wajar dicontohi . Jika Imam Asy Syafie pengasas Mazhab Syafie yang tentu banyak perkara berbeza dengan mazhab Hanafi boleh menghormati Imam Abu Hanifah dalam berkhilaf sedang Imam Abu Hanifah telah lama wafat sebelumnya . Kenapa tidak kita hari ini boleh menghormati sahabat yang berbeza pandangan dengan kita sedang dia masih hidup di hadapan kita ?

Bukankah ini persoalan SIKAP yang perlu diperbetulkan ?

Saturday, September 13, 2008

Selamat Berpuasa

2 kali 5 mengucapkan selamat berpuasa...selamat menyambut ramadhan...

Thursday, April 10, 2008

1 sen 1 Ramadhan

Saya bercadang untuk mengadakan kempen 1 sen 1 Ramadhan. Program ini bertujuan untuk mengumpulkan dana sebanyak mungkin bagi memeriahkan bulan Ramadhan yang mulia.

Idea ini mula tercetus apabila sebuah masjid di Kulim kedah pada Ramadhan 2 tahun yang lepas telah berusaha untuk mengumpulkan dana bagi menggantikan permaidani masjid dan pada masa yang sama kebetulan saya baru pulang dari MAKNA. Pada masa tersebut MAKNA juga sedang mengumpulkan 1 sen untuk membiayai aktiviti mereka. Saya telah mengumpulkan syiling 1 sen dan 5 sen secara berseorangan. Saya mulakan dari awal ramadhan dan saya mengira semula jumlah simpanan pada awal ramadhan tahun berikutnya. Amat mengejutkan saya mampu mengumpulkan lebih dari seratus RM. Bayangkan jika 1000 orang menyimpan untuk program ini.

Jadi saya berhasrat untuk mengajak kawan-kawan untuk menyimpan bersama dengan saya dan kita mulakan dari sekarang. Cuba kita lihat jumlahnya pada Ramadhan tahun ini.

Saya sedang merangka kaedah dan gerak kerja terbaik termasuk bagaimana dan kemana kita hendak menyalurkan jumlah simpanan kita nanti . Saya amat mengalukan sebarang cadangan dari kawan-kawan - pemuda.melayu@yahoo.com

2kali5.blogspot.com